About Me

PERNYATAAN ULAMA TENTANG MUSIK

HADITH-HADITH SAHIH TENTANG HARAMNYA MUZIK



Para Imam Mazhab Empat telah sepakat mengharamkan semua alat-alat muzik, dengan beberapa pengecualian (rebana dalam majlis-majlis perkahwinan dan dua hari raya), berdasarkan hadith-hadith yang warid daripada Rasulullah(saw) mengenainya.  Akan tetapi ada sebahagian ulama yang memfatwakan hukum yang berlawanan seratus peratus darajat dengannya.  Yang terkenal diantaranya ialah Ibn Hazm , tokoh besar Mazhab Ad Zhahiri dalam bukunya yang terkenal “Al Muhalla”.  Pada zaman moden ini lahir pula beberapa orang ulama yang mengeluarkan fatwa yang serupa itu.  Diantaranya yang sangat menonjol ialah Dr. Yusuf Al Qardhawi didalam bukunya “Al Halal Wal Haram Fil Islam”.  Beliau telah berkata:  Adapun hadith-hadith nabi yang warid mengenainya (muzik) semuanya penuh dengan  tajrih (kecacatan) dan tidak ada satu hadith pun yang terselamat dari kritikan ulama dan fuqaha hadith.  Al Qadhi Abu Bakar Ibn Al Arabi telah berkata: tidak ada satu hadith pun yang sahih mengenai pengharaman bunyian, manakala Ibn Hazm pula berkata: semua hadith yang warid mengenainya adalah baatil dan maudho’ belaka”. (Al Halal Wal Haram Fil Islam ms. 282)
 Pendapat Dr. Yusuf Al Qardhawi ini tersebar di seluruh dunia Islam melalui bukunya yang terkenal dan sangat besar pengaruhnya di kalangan   umat   Islam sekarang ini di mana ia di terima  pakai dalam kebanyakan pendapat yang diutarakan dalam masyarakat umat , tanpa menoleh lagi kepada pendapat imam mazhab empat dan kepada dasar-dasarnya, seakan-akan pendapat tersebut adalah baatil, manakala pendapat Dr. Yusuf Al Qardhawi adalah suatu kebenaran mutlak yang tidak perlu di kaji dan di ragui lagi. 


Sesungguhnya pendapat yang mengatakan semua hadith-hadith yang bersangkutan dengan bunyian, muzik dan alat-alat muzik adalah baatil dan maudho’ belaka, adalah keterlaluan.  Ia bukanlah hasil dari satu kajian ilmiah yang mendalam dan matang, tetapi ia tidak lain dan tidak bukan dari satu taqlid buta kepada Ibnu Hazm dan orang-orang yang serupa dengannya.  Ini adalah kerana menurut kajian yang di buat oleh ulama-ulama dan pengkritik hadith yang muktabar ternyata bahwa sebahagian hadith mengenai masalah ini adalah benar-benar sahih dan bukanlah samuanya baatil atau maudho’ seperti yang dikatakan.

Di antara hadith-hadith yang sahih ialah:

1.       Imran ibnu Husain  meriwayatkan bahawa Rasulullah(saw) telah bersabda mafhumnya: “ Akan berlaku kemusnahan, penukaran rupa (penjelmaan) dan lontaran dalam umat ini.  Seorang lelaki dari kaum muslimin berkata: Bilakah yang demikian itu akan berlaku wahai Rasulullah(saw)?  Beliau bersabda mafhumnya: “ Apabila lahir biduanita-biduanita, alat-alat muzik dan di minum khamr (arak)”. (Hadith Sahih riwayat Tirmidhi dan Ibn Abiddunya.  Lafaz hadith ini menurut riwayat Tirmidhi. Lihat Sahih Sunan At Tirmidhi 1801-2323, Sahih Al Jaami’ As Sagheer 4273 dan Silsilatul Ahadeeth As Saheehah  - Syaikh Mohd Naasiruddin Al Albaani)


2.       Anas ibn Malik (rad) meriwayatkan bahawa  Rasulullah(saw) bersabda mafhumnya : “ Pasti akan berlaku kemusnahan, lontaran dan pengubahan rupa dalam umat ini, yaitu apabila mereka meminum khamr, mengambil biduanita-biduanita dan membunyikan alat-alat muzik.
(Hadith ini sahih riwayat Ibn Abiddunya dalam “Dzam Al Muhalli” Juz 1/1530 . Hadith ini juga diriwayatkan oleh Tirmidhi dan Ibn Abiddunya daripada Imran ibn Husain.  Imam Ahmad dan Ibn Abiddunya meriwayatkan juga daripada Abi Umamah dan ia diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah oleh Tirmidhi dan Ibn Abiddunya.  Sila lihat Saheeh Al Jaami’ As Sagheer 5467 dan Silsilatul Ahadeeth As Saheehah 2023  As Syaikh Al Albaani)

3.       Imran ibn Husain dan Abu Saaid                                              (rad) meriwayatkan bahawa Rasulullah(saw) bersabda mafhumnya: “Akan berlaku kemusnahan, lontaran dan perubahan rupa di akhir zaman yaitu lahir alat-alat muzik, biduanita-biduanita dan apabila khamr dihalalkan”
(Hadith ini saheeh - Riwayat Tirmidhi dan Thabarani)   

3.       Abu Maalik Al Asyaari (rad) meriwayatkan bahawa Rasulullah(saw) bersabda mafhumnya: “ Orang-orang dari umat ku pasti akan meminum khamr yang mereka namakannya dengan bukan nama khamr, di mainkan alat-alat muzik keatas kepala mereka dan biduanita-biduanita.  Allah akan musnahkan bumi bersama-sama mereka dan menjadikan sebahagian mereka sebagai kera dan babi.  (Hadith ini saheeh - Riwayat Ibn Maajah, Al Baihaqi dan Ibn Asaakir, Ibn Hibban dan Thabarani.  Sila lihat Saheeh Al Jaami’ As Sagheer 5454, Silsilatul Ahadeeth As Saheehah  90, 91 dan Saheeh Ibn Maajah 3247 – 4020) 

5.       Abu Maalik Al Asyaari (rad) meriwayatkan bahawa Rasulullah(saw) bersabda mafhumnya: “ Akan  ada  beberapa kaum dari umatku yang menghalalkan zina, sutera (bagi lelaki), khamr dan alat muzik dan beberapa kamu akan turun/berhenti di sudut sebuah bukit yang tinggi.  Para penternak datang kepada mereka di waktu petang dengan membawa haiwan-haiwan ternakan mereka kerana sesuatu keperluan, lalu mereka berkata:  Datanglah semua menemui kami esok.  Lantas Allah(swt) memusnahkan mereka pada waktu malam dan menjatuhkan bukit yang tinggi itu ke atas mereka dan sebahagian yang lain lagi Allah mengubah rupa mereka menjadi seperti kera dan babi sampailah ke hari kiamat.
(Hadith ini saheeh – Ri. Al Bukhari dalam kitab saheehnya (4/30).  Sila lihat  Silsilatul Ahadeeth As Saheehah 1/91/139-147  dan Saheeh Al Jaami’us Sagheer 5466.)

     
Hadith ini diriwayatkan oleh Bukhari
di  dalam saheehnya secara ta’lik.

Semua hadith tersebut dengan jelas dan tegas mengatakan keharaman zina, sutera (bagi lelaki) , khamr dan alat muzik .  Terhadap kaum yang menghalalkan  akan di timpakan Allah dengan kemusnahan, perubahan rupa sampailah ke hari kiamat. Tidak ada hadith – hadith sahih yang mengecualikannya kecuali penggunaan rebana dalam majlis-majlis perkahwinan dan pada dua hari raya. 

Sewaktu menjelaskan hadith di atas, Al Allaamah As Syaikh Muhammad Naasiruddin Al Albaani, (rahimahullah) telah berkata:  “ Banyak hadith yang warid mengenai pengharaman muzik yang terkenal pada masa itu (masa Nabi saw) seperti gendang (genderang), gambus dan lain-lain.  Tidak ada hadith yang warid yang menyalahinya atau pun yang mengtakhsiskannya kecuali rebana / kompang  dalam majlis-majlis perkahwinan dan dua hari raya kerananya mubah mengikut perincian yang di sebutkan dalam kitab-kitab fiqh.  Mengenai ini telah saya sebutkan dalam sanggahan saya terhadap Ibn Hazm.  Maka oleh kerana itulah mazhab yang empat sepakat mengharamkan semua alat-alat muzik.  Manakala sebahagian mereka mengecualikan gendang peperangan selain rebana dalam majlis-majlis perkahwinan dan dua hari raya itu.  Dan sebahagian ulamak sekarang memasukkan / menghubungkan ke dalamnya muzik tentera.  Pendapat ini tidak mempunyai dasar kerana beberapa sebab:

1.        Mentakhsiskan hadith-hadith yang mengharamkan (secara umum) tanpa adanya  makhsus (pentakhsis) semata-mata berdasarkan akal fikiran dan istihsan adalah baatil.

2         Yang wajib bagi orang –orang Islam dalam masa peperangan ialah menghadapkan hati mereka semata-mata kepada Allah sambil memohon pertolongan untuk mengalahkan musuh.  Yang demikian lebih kuat pengaruhnya bagi ketenteraman jiwa dan lebih menguatkan hubungan hati dengan Allah Taala.  Penggunaan muzik adalah di antara perkara yang merosakkan hati dan memalingkan mereka dari menyayangi tuhan mereka. Allah Taala berfirman mafhumnya: “  Wahai orang –orang yang beriman ! Apabila kamu memerangi pasukan musuh, maka teguhkanlah hati kamu dan sebutlah nama Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu beruntung”  ( Al Anfaal: 45) .

Penggunaan alat-alat muzik adalah sebahagian dari adat/tradisi orang-orang kafir yang tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat dan tidak pula mengharamkan apa –apa yang  telah di haramkan Allah dan RasulNya dan tidak pula beragama dengan agama yang benar.

Justru, kita tidak harus menyerupai mereka, terutamanya dalam perkara-perkara yang di haramkan Allah secara umum seperti muzik ini.

Saudara sekalian, janganlah hendaknya terpedaya dengan apa yang didengar daripada sebahagian ulama fiqh yang masyur sekarang ini yang berpendapat halalnya alat-alat muzik dan muzik itu, kerana mereka sebenarnya mengeluarkan fatwa secara taqlid dan mereka membantu kecenderungan / keinginan manusia sekarang ini.

Kepada siapakah mereka bertaqlid? Tidak lain  kecuali kepada Ibn Hazm yang telah berbuat salah apabila beliau membolehkan/menghalalkan alat-alat muzik dan hiburan kerana menurutnya hadith Abu Maalik Al Asyaari tidak saheeh sedangkan anda telah mengetahui bahawa hadith tersebut adalah benar-benar saheeh.

Pendapat Ibn Hazm ini lahir kerana kelemahannya dalam ilmu hadith sperti yang telah di nyatakan sebelum ini.  Apakah  gerangan yang mendorong mereka mengikuti pendapat Ibn Hazm dengan meninggalkan pendapat imam-imam yang empat (Maalik, Abu Haanifah, Shafei dan Ahmad) pada hal mereka lebih faqih dari Ibn Hazm, lebih alim , lebih ramai bilangannya  dan lebih kuat hujjahnya?.  Jika yang mendorong mereka bertaqlid kepada Ibn Hazm kerana semata-mata pentahqiqan ilmi maka tidak siapa yang akan mengkritik mereka.  Pengertian tahqiq ilmi seperti yang di ketahui ialah mereka hendaklah mengikuti semua hadith yang warid dalam bab ini, mempelajari jalan-jalan dan perawi-perawinya dan kemudian menghukum hadith-hadith itu mengikut yang patut, samada saheeh, hasan  atau dhaeef.  Kemudian apabila ada di antaranya  yang  saheeh, mereka hendaklah mempelajarinya dari sudut dilalahnya, fiqhnya, umumnya dan khususnya berdasarkan kaedah-kaedah ilmu usul hadeeth dan usul fiqh..

Jika mereka telah berbuat demikian, mereka mendapat pahala dan tidak ada sesiapa yang dapat mengkritik mereka.  Akan tetapi, demi Allah mereka tidak melakukan sesuatu apa pun!  Apabila mereka di hadapkan kepada sesuatu masalah, mereka akan melihat kepada pendapat-pendapat para ulamak mengenainya.  Kemudian mereka mengambil mana yang lebih mudah atau yang lebih mendatangkan maslahat-maslahat menurut anggapan mereka tanpa melihat apakah pendapat itu selaras dengan dalil dari Al Kitab dan As Sunnah As Saheehah.  Tidak di ketahui berapa banyak mereka telah mensyariatkan untuk orang ramai dengan cara ini – atas nama syariat Islam pada hal Islam bersih darinya.
(Silsilatul Ahadeeth As Saheehah ms 139 – 147  Jilid 1/91  - Syaikh Al Albaani) 

Sungguhpun Islam itu adalah agama Allah, semuanya mestilah di dasarkan kepada kitab sucinya dan kepada keterangan –keterangan rasulNya.  Jika ada, kemudian barulah ijhtihad berdasarkan kaedah-kaedah yang telah di tetapkan.  Mana-mana pendapat yang berlawanan dengan dalil, baik Al Quran ataupun Al Hadeeth, dengan sendirinya baaatil dan mardud ( di tolak).